JEJAK KASIH 100 TAHUN (2)
Catatan : RAMLI BIN ABDUL KARIM HASIBUAN – Kuala Lumpur, Malaysia
SEKITAR pukul 3.20 petang, Datuk Habibah Zon Lubis terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada sanak saudaranya di Pakantan Dolok untuk memberi laluan pula pencarian keluarga Datuk Mohd. Shuhaili Mohd. Taufek Nasution.
Selepas 50 kilometer menuruni perbukitan, Mohd. Shuhaili dan isteri, Datin Amina Aucasa serta anak, Muhammad Akmal Nasution dipertemukan dengan keluarga di Huta Pungkut Jae, Kotanopan, pukul 4.45 petang.
Kira-kira dua jam beramah mesra dan dijamu hidangan enak, mereka juga perlu berpisah. Mohd. Shuhaili kemudian dipertemukan pula dengan ‘bapa saudara’ salasilah sama, Burhanuddin Nasution, 71, di Kelurahan Sipolu-polu, Panyabungan, pukul 8.30 malam.
Oleh kerana kekangan waktu, Habibah dan keluarga Mohd. Shuhaili dihantar ke hotel penginapan bagi memberi peluang Nurmah Mahiram Batubara, dan suaminya, Abdul Rahman Abdul Rani, 60, dari Kampung Sungai Bil, Slim River, Perak pula bertemu saudara mara mereka.
Kira-kira pukul 11.50 malam (12.50 tengah malam Malaysia), Nurmah tiba di Kampung Tangga Bosi, Siabu, 26 kilometer dari Panyabungan. Walaupun sudah tengah malam, air mata kegembiraan tetap menyambut mereka, disusuli perkongsian cerita keluarga dan juga jamuan.
Nurmah dan Abdul Rahman dirayu tinggal semalaman di kampung itu sebagai pengubat kerinduan. Mereka berdua tidak menghampakan permintaan itu.
Yang terakhir, Mastiara Abu Nawar Hasibuan, dari Jelebu, Negeri Sembilan, dan cucu saudaranya, Muhammad Hafizuddin Ramli Hasibuan, 17, dipertemukan dengan keluarga di Aek Tapus, Sihepeng, Siabu, pukul 1.45 pagi. Seperti di rumah sebelumnya, walaupun dinihari, jamuan makan nasi tetap dihidangkan, sambil bercerita dan bertanya khabar kaum keluarga di Malaysia.
Esoknya, rombongan dengan hati pilu meninggalkan Mandailing Natal untuk melawat daerah lain dalam Tabagsel, iaitu bandar Padang Sidimpuan dan Sipirok di Tapanuli Selatan sebelum terbang ke Medan pada 3 Disember untuk melancong ke Danau Toba, Pulau Samosir dan Berastagi.
Sesungguhnya, pertemuan Habibah, Mohd. Shuhaili, Nurmah dan Mastiara dengan saudara mara di tanah Mandailing merupakan detik-detik yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh kedua-dua pihak. Ia juga sejarah dalam menjejaki sanak saudara serta susur galur masyarakat Mandailing di Malaysia. Jejak kasih 100 tahun itu berhasil sepenuhnya. (artikel ini pertama terbit di Utusan Online)
IMAMI boleh dihubungi menerusi telefon 019-6066564.
Comments
Komentar Anda